Pada waktu entri ini dikarang, kecoh berkenaan isu penyusuan di tempat awam atau NIP
(Nursing in Public) vs NIPP
(Nursing in Private Please). Sejak berlangsungnya KLCC Flash Mob 2012, PSI semakin mendapat liputan meluas di mana-mana media utama, alhamdulillah!
Sememangnya ini adalah petanda positif dan baik, betapa PSI sudah semakin mendapat tempat dan perhatian dalam kalangan masyarakat kita.
 |
| Profesor Dr. Muhaya serta anak beliau, Dr. Atiyah turut memberikan sokongan padu. |
 |
| Biasanya, Flash Mob menjadi antara teknik pilihan terkini dalam mempromosikan sesuatu isu selepas segala proses lain dipandang sepi oleh pihak berwajib.
|
Pun demikian, berdasarkan apa yang dikongsi di media, ternyata masih jauh perjalanan dan perkongsian yang perlu kita sebarkan kepada masyarakat. Dalam pengendalian program di saluran
Al-Hijrah sendiri baru-baru ini, dapat dilihat betapa masyarakat masih belum terdedah dan maklum pada hukum amalan penyusuan anak melebihi usia 2 tahun. Ini sedikit sebanyak mengelirukan pandangan masyarakat kepada amalan PSI yang sedang berkembang cantik di Malaysia.
Syukur alhamdulillah, hal ini dimurnikan kembali di FB oleh Eksekutif Kanan Penyelidikan Program dan Pembangunan Kandungan Al-Hijrah, Tuan
Syed Shahridzan dengan begitu matang dan berhemah. Namun, ini masih belum cukup memurnikan fikiran masyarakat kita, terutama yang tidak mempunyai pendedahan dan capaian kepada dunia maya, dan hanya bergantung pada apa yang dipaparkan di kaca televisyen. Menurut Tuan Syed Shahridzan:
Assalamu'alaikum wrbt....
Para penonton Soal Wanita yang dirahmati Allah,
Izinkan saya perkenalkan diri, saya seperti nama yg tertera pada FB, merupakan Eksekutif Kanan Penyelidikan Program dan Pembangunan Kandungan merangkap individu yang bertanggungjawab dalam menentukan halatuju kandungan rancangan TV AH mengikut etika "Shariah Compliance". Saya dimaklumkan oleh Puan Penerbit 'Soal Wanita' tentang salah faham dan sedikit kekecohan yang berlaku dalam ‘thread’ ini. Jadi saya rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan pendirian TV AH terutamanya pihak penerbitan 'soal wanita' terhadap isu ini.
Saya telah meneliti kenyataan salah seorang hos Soal Wanita iaitu Puan Noor Layla mengenai hukum penyusuan anak melebihi umur dua tahun samaada di dalam rancangan soal wanita atau ‘thread’ ini BUKANLAH pendirian atau pegangan TV AH, di mana kenyataannya seoalah-olah Islam telah menetapkan tempoh susuan bagi bayi adalah tidak boleh melebihi dua tahun.
Saya secara peribadi melihat hujah yang digunakan dan disimpulkan secara literal tanpa merujuk kepada ahli-ahli tafsir al-Quran dan fatwa ulama yg muktabar.
Untuk pengetahuan para penonton yang budiman sekelian, ayat suci tersebut tidak memberi maksud penghadan tempoh maksimun bagi penyusuan anak, malah al-Quran menjelaskan tempoh yang paling paling sesuai dan ideal untuk kebaikan bayi.
Tafsiran sebegini dinyatakan oleh kumpulan ulama-ulama al-Azhar di dalam kitab tafsir ‘Tafsir al-Muntakhab fi Tafsir al-Quran al-Karim’ dalam mentafsirkan ayat 233 surah al-Baqarah:
وعلى الأمهات أن يقمن بإرضاع أولادهن مدة عامين تامين مراعاة لمصلحة الطفل
“Para ibu hendaklah menyusu anaknya selama dua tahun yang lengkap untuk menjaga kemaslahatan bayi”
Jelas sekali pentafsiran dari para ulama al-Azhar sama sekali tidak menyatakan bahawa ayat suci tersebut menghadkan tempoh penyusuan anak.
Tafsiran ini disokong oleh, al-Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya ‘Tafsir al-Quran al-Karim’:
هذا إرشاد من الله تعالى للوالدات أن يرضعن أولادهن كمال الرضاعة ، وهي سنتان
"Ini adalah petunjuk Allah SWT supaya para ibu menyusukan anak-anak mereka dengan penyusuan yang sempurna iaitu tempoh dua tahun’.
Pentafsiran Ibnu Kathir jelas tidak menzahirkan bahawa tempoh dua tahun bukanlah tempoh maksimum untuk penyusuan bayi, ia hanyalah tempoh yang paling ideal.
Menurut Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah di dalam al-Majmu'ah li al-Fatawa:
وقَوْله تَعَالَى ( حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ) يَدُلُّ عَلَى أَنَّ هَذَا تَمَامُ الرَّضَاعَةِ ، وَمَا بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غِذَاءٌ مِنْ الْأَغْذِيَةِ
"Firman Allah itu (Dua tahun lengkap, bagi sesiapa yang ingin melengkapkan penyusuan) menunjukkan bahawa tempoh itu adalah penyusuan yang lengkap. Apa(susuan) yang lebih dari itu(dua tahun) merupakan sebahagian daripada makanan (untuk anak)."
Tafsir yang diutarakan oleh Ibnu Taimiyyah RHM menguatkan lagi kedudukan tempoh 2 tahun bukanlah tempoh yang disangkakan iaitu tempoh maksimum, malah melalui fatwa beliau di atas menunjukkan penyusuan melebihi 2 tahun adalah dibenarkan oleh syarak.
Sepertimana yang telah dijelaskan, maksud ayat suci tersebut, tempoh dua tahun adalah tempoh yang paling ideal untuk tumbesaran kanak-kanak agar membesar dengan lebih sempurna, iaitu sebaik-baiknya para ibu menyusukan anak-anak mereka sekurang-kurangnya dua tahun.
Fakta ini dikuatkan dengan fakta perubatan yang menyatakan, seorang bayi mampu membesar dengan baik hanya dengan susu ibu meskipun tanpa diiringi pemakanan yang lain dalam tempoah 2 tahun. (Rujuk: Majalah al-Buhuth al-Islamiyyah, keluaran 37, ms 329).
Apakah hukum menyuskan anak lebih dari dua tahun?
Menurut Imam al-Qurtubi di dalam karangan agungnya iaitu al-Jami’ li Ahkam al-Quran:
والزيادة على الحولين أو النقصان إنما يكون عند عدم الإضرار بالمولود وعند رضا الوالدين
"Penyusuan yang kurang dari dua tahun atau lebih bergantung kepada situasi yang tidak memudaratkan bayi dan bergantung kepada kerelaan kedua ibu bapa." Al-Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah berkata di dalam kitab Tuhfatul Maudud fi Ahkam al-Maulud:
ويجوز أن تستمر الأم في إرضاعه بعد الحولين إلى نصف الحول الثالث أو أكثره
"Seseorang ibu boleh terus menyusukan anaknya lebih daripada dua tahun kepada setengah daripada tahun ke tiga atau lebih dari itu." Menurut fatwa kerajaan Arab Saudi:
إذا علم أن الرضاعة حق للرضيع ومصلحته ، وأنه لا يجوز فطامه قبل السنتين إذا أضر به ، فإنه يجوز للأم أن تستمر على إرضاع ولدها بعد السنتين إذا كان لمصلحته ودفع الضرر عنه
"Jika diketahui bahawa penyusuan ibu itu adalah hak bayi dan kebaikannya, maka tidak sepatutnya bayi disusukan kurang daripada dua tahun, dibolehkan seseorang ibu menyusukan anaknya lebih daripada dua tahun jika ia mendatangkan kebaikan dan menolak kemudaratan." Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaili seorang pakar fiqh perbandingan yang tersohor di dunia melakar pendapatnya di dalam ‘al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu’:
فإن استمر الرضاع بعد الحولين لضعف الطفل ، فلا مانع منه للحاجة
"Jika penyusuan bayi berterusan lebih dari dua tahun disebabkan keadaan bayi yang lemah (kurang sihat), maka ia tidak menjadi halangan atas keperluan hajat." Berdasarkan kenyataan dan fatwa yang diterbitkan oleh para ulama tradisi dan moden, maka jelaslah bahawa hukum menyusukan anak lebih daripada dua tahun adalah HARUS dan tidak dihukum sebagai HARAM atau melanggar hukum syarak. Manakala ayat-ayat suci yang menyentuh tempoh penyusuan iaitu dua tahun, bukanlah bermakna tempoh maksimun seseorang ibu menyusukan anaknya, malah ia memberi maksud tempoh yang ideal untuk kebaikan si anak.
Wallahu A'lam.
Kelegaan saya dengan penjelasan ini kembali bergetar, apabila pulang ke kampung baru-baru ini, pantas ibu menyoal kepada saya perihal penyusuan melebihi 2 tahun ini gara-gara siaran TV AH itu. Manakan tidak, anaknya ini turut mengamalkan dan meneruskan penyusuan secara tandem, malah kepada anak sulung yang sudah pun melebihi usia 4 tahun.
Justeru, tuntutan para ibu supaya TV AH mengadakan Soal Wanita 'Susu Ibu' siri kedua tidak boleh dipandang sepi. Kami menuntut supaya siri seterusnya menjemput mereka yang benar-benar pakar dalam bidang laktasi mahupun bidang agama, bagi mengupas isu ini dengan lebih intelektual, menyeluruh, dan matang, serta mengikut hukum sebenar yang digariskan oleh Islam.
Dalam PSI, antara halangan paling besar untuk para ibu adalah 'orang-orang lama' yang begitu terikat dengan mitos dan petua. Apatah lagi apabila mereka disuap bahawa penyusuan susu ibu kepada anak melebihi 2 tahun adalah haram? Dogma ini perlu dimurnikan dengan segera.
Berbalik kepada tajuk entri ini, 'Penyusuan di Tempat Awam', ini juga berkait rapat dengan melatahnya masyarakat di luar sana apabila flash mob dijalankan. Betapa mereka cemas dan cuak dengan adegan yang 'tidak selesa' ini. Jelas, mereka juga masih belum memahami apa yang diperjuangkan oleh ibu-ibu yang menyokong penyusuan ini.
Dalam hal ini, saya secara peribadi mengambil isu ini sebagai jalan terbaik untuk kita menerangkan kepada mereka secara berhemah. Membalas dengan cara yang sama tidak meletakkan kita di tempat yang lebih baik, dan tidak membantu kita menyelesaikan situasi ini dengan lebih optimum.
Mengapa NIP?
Sudah fitrah, setiap wanita dikurniakan dengan sifat malu yang tinggi. Malah sifat malu itu diterapkan bukan sahaja khusus untuk wanita, malah kepada semua individu yang bergelar Muslim. Sebagaimana dinyatakan oleh junjungan besar kita, Rasulullah s.a.w dan direkodkan oleh al-Bukhari:
"Iman terdiri daripada lebih 60 cabang, dan rasa malu itu adalah sebahagian daripada iman."
Di Malaysia, kita sendiri sedia maklum, tahap penyediaan kemudahan-kemudahan awam hakikatnya masih jauh daripada tahap kondusif. Fokus kepada keadaan surau, tandas, apatah lagi penyediaan bilik persalinan lampin bayi dan bilik penyusuan, semua masih jauh daripada tahap bersih dan selesa, dan hanya tersedia di pusat-pusat membeli-belah yang besar. Itu pun, masih dalam kuantiti yang sedikit dan tidak mencukupi.
Lebih memburukkan lagi, bilik-bilik penyusuan itu biasanya digabung pula dengan bilik persalinan lampin, berbau, kadangkala lampin pakai buang diletakkan merata-rata, dan sememangnya tidak selesa untuk para ibu menyusukan bayi mereka. Sekiranya pun ada tempat yang selesa, jumlahnya pula tidak mencukupi, sehingga terpaksa beratur demi menyusukan anak di dalam bilik penyusuan. Lalu, di mana pula pilihan yang ada? Ya, surau dan tandas menjadi sasaran seterusnya.
Apabila melibatkan surau, kita fahami ada pusat membeli-belah yang tidak kisah untuk para ibu menyusukan anak mahupun memerah di dalam surau. Namun begitu, ada juga ibu yang dihalau daripada melakukan aktiviti 'halal' ini di dalam surau, dan disuruh pergi ke tandas! Pemerahan juga dilarang atas alasan tidak boleh menggunakan plug yang ada, dan mengganggu ketenteraman mereka yang sedang solat.
Apakah penyusuan juga sepatutnya dilarang, iaitu proses memberi makanan kepada zuriat sendiri? Proses menyusukan anak seakan-akan menjadi suatu amalan yang sangat janggal dilakukan di hadapan orang, sekalipun di dalam surau. Jangankan pengawal keselamatan, kadangkala antara para ibu sendiri memandang sinis pada mereka yang menyusukan si manja tersayang.
Apakah terlalu tinggi nilai kos demi membenarkan penggunaan elektrik bagi memerah susu, berbanding menyediakan kemudahan wifi yang biasanya lebih banyak disediakan? Sampai bilakah kita mahu berhadapan dengan situasi ibu-menyusukan-anak-adalah-suatu-aksi-yang-tidak-sopan-mendatangkan-ghairah-tidak-patut-tidak-selesa-dan-keji sedangkan Allah sudah jadikan peranan seorang ibu dikurniakan dengan susu demi menyusukan anak mereka.
Sampai bilakah kita mahu menidakkan peranan ibu yang menyusukan anak ini, sedangkan ini adalah amalan paling mulia dan diamalkan sejak manusia mula bertapak di atas bumi, malah dijadikan tradisi kepada junjungan besar kita sendiri Rasulullah s.a.w?
Lebih menyedihkan, TANDAS adalah seperti tempat yang paling sinonim dan sesuai untuk menyusukan zuriat kita, masya Allah! Sanggupkah kita semua menikmati sarapan, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam, mahupun minum malam di dalam tandas? Berselerakah kita? Apakah kita terfikir berkenaan bakteria dan kuman apabila kita yang mengalaminya sendiri?
Dan sampai bilakah negara kita perlu berhadapan dengan situasi apabila-anak-menangis-cari-dan-berlari-lari-anak-serta-beratur-di-hadapan-bilik-penyusuan-dan-sekiranya-ramai-berlari-pula-ke-surau-dan-apabila-dihalau-berlari-pula-ke-tandas-dan-sekiranya-tandas-juga-penuh-dengan-orang-beratur-dan-tiada-kerusi-untuk-duduk-berlari-sahaja-ke-mana-mana-tempat-tersembunyi-bawah-tangga-mahupun-bilik-menyalin-pakaian-yang-rupa-rupanya-turut-penuh-dan-kemudian-berlari-bagai-mahu-gila-menuju-ke-kereta-yang-belum-tentu-selamat-kerana-kawasan-parkir-yang-sunyi? Dalam masa yang sama, anak kecil kita yang tidak kenal erti sabar-tunggu-sekejap itu terus menangis dan menjerit kelaparan?
Tidak dinafikan, ada bayi yang kurang agresif dengan tidak mengeluarkan tangisan yang 'hebat' sekalipun sudah kelaparan yang amat. Namun, ada juga bayi yang memang tidak sabar langsung, walaupun ibunya sudah menyusukannya dengan kerap, sebelum membeli-belah, dan sebagainya. Itu adalah fitrah masing-masing yang sememangnya berbeza antara setiap kejadian. Adakah semua bayi sifatnya sama, dan boleh ditebak tindakannya? Sudah tentu tidak! Allah berkata dalam surah
al-Hujuraat, ayat 13:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya."
Apa yang para penyokong dan aktivis PSI perjuangkan ini sebenarnya adalah lebih daripada itu. Bukan sekadar cukup seadanya, 'janji anak mendapat menyusu, kenyang, dan tidur'. Ataupun sekadar sekiranya mahu menyusukan anak dengan selesa, pergilah ke tempat-tempat yang bagus penyediaannya seperti AEON (tidak semua cawangan selesa) ataupun 'gah' seperti IKEA (yang bukan semua orang mampu dan menjadikannya 'tempat kesayangan').
Tetapi kita mahu PSI ini menjadi suatu yang dapat dinikmati dan dijalani dengan normal, selesa, serta tidak ke tahap menyusahkan, sehingga menjadi ketakutan dan trauma bagi melakukan penyusuan di luar rumah sendiri. Kita mahu PSI menjadi hak semua bayi, tanpa dinafikan mudahnya PSI berbanding susu tiruan yang langsung tidak berkhasiat, malah boleh mendatangkan mudarat.
Kita mahu PSI tidak menjadi tabu sehingga para ibu bapa tidak panik apabila berlakunya malapetaka alam, tsunami, banjir, dan sebagainya, sehingga sukar mahu mendapatkan bekalan air bersih, hanya kerana mahu membancuh susu! Kita mahu sekiranya berlaku bencana, ibu menjadi tidak panik hanya kerana tidak menjumpai lokasi yang 'tersembunyi' demi menyusukan anak yang kelaparan. Itu yang kita mahu.
Mengapa Tidak Menggunakan Botol Sahaja?
Tahukah kita, penyusuan susu ibu BUKAN SAMA SEKALI bermaksud 'janji minum susu ibu tanpa mengira medium apa yang digunakan' sahaja. Bukan! Penyusuan adalah ikatan kasih sayang antara ibu dan bayi, yang hanya dapat dinikmati dan dirasai oleh ibu dan bayi itu sendiri. Ikatan yang mengikat hati dan roh antara dua jiwa, yang mampu membangunkan generasi yang berakhlak dan bertamadun tinggi, insya Allah.
PSI perlu berlaku dengan adanya 'roh' iaitu apabila tangan kanan ibu dapat mengusap kepala bayinya, tangan kiri pula menepuk manja, mulut ibu pula tidak putus-putus mengalunkan zikir dan selawat, serta pengharapan supaya anak itu membesar sebagai hamba-Nya yang soleh, insya Allah!
Semua ini tidak dapat dilakukan sekiranya sebelah tangan memegang botol, dan tiada pula 'roh' dan sentuhan secara terus dalam menyalurkan rasa kasih sayang itu. Sekiranya ada, sama sekali tidak dapat menandingi penyusuan secara terus.
 |
Satu gambar sejuta tafsiran. Cara ibu menyusukan mempengaruhi pembesaran anak. Ibu yang menyusukan secara terus biasanya akan sibuk menatap terus ke dalam mata si manja. Mereka sedang bergambar bersama. Ibu mengandung, mana satu pilihan hati? Sumber gambar.
|
Lalu, Apakah Ikhtiar Kita?
Dengan mengambil kira pelbagai faktor yang sangat mengambil masa bagi melaksanakannya, lalu lahirlah pelbagai peralatan dan ikhtiar yang memudahkan, hasil kreatifnya para ibu kita demi memastikan zuriat mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat. Terhasillah:
1. Nursing cover
2. Nursing poncho
3. Menyusu sambil menggunakan alat gendongan
4. Menyusu di sebalik tudung-selendang-cardigan
5. Menyusu di sebalik kereta tolak
6. Menyusu di bawah tangga-dan-segala-tempat-yang-sempat
7. Suami membantu melindungi dan menyokong isterinya
Sampai bilakah masyarakat kita mahu berterusan dikecam? Sampai bilakah kita hanya mahu 'lempar batu sembunyi tangan'? Dan sampai bilakah kita hanya menjadi seperti 'anjing menyalak bukit'? Sokongan yang jitu amat kami para ibu dan bapa yang menyokong PSI ini perlukan, demi menaik taraf apa yang sedia ada dalam negara kita. Mengimpikan bilik penyusuan di setiap aras bangunan pusat membeli-belah? Tidak cukup sekadar memberi cadangan dan bermimpi, mari sertai kami mengisi
PETISYEN ini. Semoga impian kita semua menjadi nyata!
 |
| Jangan sampai generasi kita menjadi seperti INI |
Untuk para sahabat PSI dan aktivis di luar sana pula, marilah kita jadikan isu ini sebagai titik tolak supaya kita lebih menitik beratkan penjagaan aurat dan batasan dalam berfesyen. Sungguh benar Islam itu menyantuni keperluan umatnya. Kembali kepada apa yang digariskan dalam Islam, insya Allah kita semua bahagia di 'sini' dan di 'sana'.
Salam hormat ---/-(@