Enjin Carian

Loading...

Peringatan Bersama (PENAFIAN)

Blog ini adalah ruang pendapat, perkongsian dan luahan pemilik blog semata-mata berdasarkan maklumat dan pemahaman pemilik blog dalam dunia penyusuan ibu (kecuali apabila dimaklumkan sumbernya). Pembaca sekalian perlu merujuk pada konsultan laktasi ataupun kaunselor laktasi yang bertauliah bagi kes-kes teknikal dan kritikal. Pemilik blog tidak bertanggungjawab atas penyebaran maklumat yang dilakukan secara langsung mahupun tidak langsung.

Pembaca blog ini diizin menyalin kembali (copy and paste) serta mengolah info ataupun maklumat dari dalam blog ini demi mengembangkan ilmu penyusuan DENGAN SYARAT meletakkan sumber rujukan kembali kepada blog ini. Ini bagi memastikan hak cipta karya pemilik blog tetap terpelihara. Terima kasih atas kerjasama dan kesudian pembaca sekalian berkongsi ilmu di sini. Salam hormat (^_____^)

Pembaca Budiman

Thursday, October 22, 2009

Keperluan asas penyusuan ibu berkerjaya

Ramai ibu-ibu yang berazam tinggi untuk memberi yang terbaik buat si manja tetapi dikekang oleh maklumat-maklumat terhad berkaitan cara pengendalian susu.

Ramai yang masih kabur dengan keperluan asas yang dapat memudahkan proses pengendalian susu ibu apabila mereka mula berkerja. Akhirnya, matlamat mereka ingin menyusukan bayi hingga usia yang diidamkan terbengkalai begitu sahaja. Dalam topik kali ini, saya akan memberi fokus kepada gajet-gajet yang memudahkan penyusuan diuruskan. Ibu semua usah khuatir, gajet-gajet yang disarankan ini tidak semestinya memerlukan bajet yang banyak, tetapi apa yang perlu USAHA dan TEKAD yang tinggi =) Antaranya ialah:

1. Pam
2. Beg/ kotak penyejuk
3. Ais/ cecair penyejuk/ peti ais bergerak
4. Pemanas susu atau makanan
5. Botol/ plastik menyimpan susu perahan
6. Penutup penyusuan
7. Gambar bayi anda =)


1. Pam
Pam terbahagi kepada tiga jenis pam utama iaitu pam manual, bateri dan pam elektrik. Daripada tiga jenis pam ini dibahagikan lagi kepada dua fungsi iaitu pam satu corong (single pump) atau pam dua corong (double pump).

Digalakkan para ibu memilih pam berdasarkan fungsi dan keperluan harian masing-masing. Biasanya bagi para ibu yang tidak bekerja, pam manual satu corong sudah mencukupi bagi mereka. Bagi para ibu yang bekerja denagn jadual yang sangat padat sebagai contoh doktor, pam dua corong elektrik/bateri adalah yang paling sesuai. Ada juga ibu yang tidak bekerja tetapi bergantung sepenuhnya pada pam kerana bayinya tidak pandai menyusu secara terus (keliru puting) pam dua corong juga amat digalakkan. Tetapi jangan terkejut, ada ibu yang tetap selesa mengepam menggunakan tangan mereka sendiri melalui Teknik Marmet yang terbukti boleh menghasilkan pengeluaran susu yang tidak kurang hebat jika dipraktiskan dengan baik.

Pemilihan pam juga amat bergantung kepada bajet sesebuah keluarga kerana kita sedia maklum, pam dua corong sudah tentu lebih tinggi harganya daripa satu corong. Begitu juga dengan pam elektrik berbanding manual. Pun begitu, terdapat ramai ibu-ibu yang prihatin akhir-akhir ini yang menyediakan skim kutu demi membantu rakan-rakan mereka mendapatkan gajet yang terbaik buat si manja.

Saya sendiri walaupun hanya menggunakan pam manual satu corong, secara peribadi amat bersetuju dengan pelaburan pam dua corong elektrik walaupun ia agak mahal. Kenapa? Kerana bagi saya, pelaburan di dalam penyusuan adalah tidak ternilai dengan hasil yang bakal saya perolehi kelak. Bahkan ia boleh digunakan untuk anak-anak saya seterusnya =)

Harga pam yang boleh didapati di pasaran adalah semurah rm9 (pam ringkas berbentuk hon) sehingga rm2+++ (pam dua corong elektrik).

Tips Mudah, Murah dan Terdesak:
Guna 'jari' pun boleh ;) (Teknik Marmet)


2. Beg/ kotak penyejuk (Cooler bag)
Apabila kita mula bekerja, penyediaan beg/ kotak penyejuk adalah amat penting bagi memudahkan urusan membawa botol-botol atau stok perahan susu kepada penjaga bayi kita.
Ia juga dapat membantu kita memastikan susu perahan tersimpan elok dan tidak basi serta membazir begitu sahaja.

Ada ibu yang menyediakan kotak penyejuk khas (sebagai contoh kotak Coleman) untuk penjaga bayi mereka kerana tidak mahu susu bercampur dengan bahan lain di dalam peti. Tetapi ramai yang lebih suka beg penyejuk kerana ia lebih menarik dan mudah dibawa. Beg penyejuk ini boleh didapati di pasaran semurah rm29.90 ke atas (bergantung kepada fungsi dan ketahanannya).

Beg/ kotak penyejuk ini perlu digunakan bersama dengan ais penyejuk (chiller) ataupun ais batu ketul.

Tips Mudah, Murah dan Terdesak:
Beli kotak putih polisterin menyimpan air batu/ ikan pun boleh ;)

3. Ais/ cecair penyejuk/ peti ais bergerak
Terdapat pelbagai saiz dan jenis ais/ cecair penyejuk di pasaran. Di antara yang mendapat tempat di kalangan para ibu ialah Techni Ice, Brite Ice (Coleman), Medela Ice dan MLO.

Apa yang membezakan ais-ais ini adalah ketahanannya, harga dan beratnya. Semuanya bergantung kepada keperluan si ibu itu sendiri. Ais-ais ini biasanya bertahan sekurang-kurangnya 8 jam dan sesuai dengan tempoh masa standard waktu para ibu keluar bekerja. Biasanya ais-ais ini perlu diletakkan semalaman di dalam peti ais (freezer) sebelum digunakan bersama beg/ kotak penyejuk.

Terdapat juga ibu yang memilih untuk hanya menggunakan Fridge-To-Go (peti ais kecil yang mudah dibawa) apakah perbezaan FTG ini dengan ais/ cecair penyejuk? Bezanya ialah, ais/ cecair penyejuk perlu dipakai atau dipadankan dengan beg/ kotak penyejuk. Manakala FTG tidak memerlukan ais lagi. Apa yang diperlukan hanyalah melipat dan menyimpan FTG ini di dalam peti ais (freezer) buat semalaman, dan digunakan antara 8-16 jam (bergantung kepada persekitaran).

Bagi ais/ cecair penyejuk, harga yang murah adalah serendah sekitar rm9 ke atas (Brite Ice Coleman kecil). Harga FTG pula boleh didapati sekitar rm150.

Tips Mudah, Murah dan Terdesak:
Guna ais batu ketul beberapa plastik pun boleh =)

4. Pemanas susu/ makanan
Pemanas susu atau makanan adalah di antara gajet yang membantu penjaga bayi kita mempercepatkan proses pemanasan dan pengendalian susu.

Biasanya pemanas susu ini menyediakan fungsi yang sama iaitu 40'celsius untuk memanaskan susu dan 70'celsius untuik memanaskan makanan. Harganya adalah dari semurah rm69 ke atas. Ia biasanya memakan masa sekitar 5minit untuk memanaskan keperluan bayi anda.

Tips Mudah, Murah dan Terdesak:
Guna air panas; rendam botol dalam mangkuk air panas pun boleh ;)


5. Botol/ plastik menyimpan susu perahan
Ada ibu yang suka menggunakan plastik penyimpan susu berbanding botol kerana lebih menjimatkan ruang. Semuanya bergantung kepada keperluan ibu-ibu semua. Yang paling penting, kalian selesa dan mudah mengendalikan susu perahan itu.

Paling penting, pastikan setiap susu perahan dilabel waktunya bagi memastikan kitaran penggunaan susu perahan anda adlah berkonsepkankan FIFO (First In, First Out)

6. Penutup penyusuan
Penutup penyusuan amat membantu para ibu yang bekerja di tempat terbuka bagi memudahkan pemerahan susu. Apabila kita memerah dengan keadaan yang tenang dan yakin, pasti lebih banyak susu dapat dihasilkan =)

Terdapat pelbagai jenis bentuk penutup penyusuan di pasaran dengan pelbagai jenis corak yang memikat hati

Tips Mudah, Murah dan Terdesak:
Pakai selendang biasa, kain lampin atau tuala sederhana pun boleh ;)

7. Gambar bayi anda =)
Perkara paling asas dalam gajet penyusuan =)

Cucilah sekeping gambar bayi penawar hati anda kerana ia terbukti memberikan ketenangan sewaktu proses megepam sekaligus membantu melancarkan pengeluaran susu.

Zaman moden ini, telefon bimbit pun boleh digunakan. Jadi, gambar bayi boleh dibawa ke mana-mana. Tetapi jika anda bertanya kepada saya, saya lebih suka dengan sekeping gambar yang boleh dipegang. Sudah pasti gambar si manja yang paling menarik dan comel ;)

1 comments:

roha said...

Thanks for the good info. :)