Lama sungguh saya berehat daripada menukilkan apa-apa dalam rumah maya saya ini. Memasuki tahun baru pula, disambut dengan satu bulan bercuti tanpa gaji dan berehat di kampung. Tidak mengapalah. Itu bahagian masing-masing. Saya tetap terima ujian ini dengan reda dan berlapang dada.
Hari ini, saya terpanggil bagi berkongsi satu kisah yang sangat menyentuh hati dan naluri saya sebagai seorang yang bergelar ummi, anak dan insan. Kisah ini adalah perkongsian daripada seorang DJ radio yang menjadi halwa telinga saya di dalam kereta, sepanjang menuju ke pejabat. Ini adalah kisah benar yang diceritakan oleh rakan beliau yang bertugas sebagai anggota bomba. Mungkin ada juga rakan-rakan di luar sana yang turut mendengar perkongsian ini.
Kisahnya perihal satu keluarga yang mengalami kemalangan ngeri. Kereta yang mereka naiki terbabas, berpusing, melanggar pembahagi jalan lalu terperosok ke dalam longkang. Dalam kejadian ini, kereta itu remuk teruk dan penumpangnya mengalami kecederaan parah. Cermin hadapan habis retak berderai. Tidak ditekankan keadaan pemandunya. Tetapi saya fikir, pemandunya menemui ajal di situ juga.
Mahu diceritakan, penumpang yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan yang sangat parah. Wajahnya habis berlumuran darah. Dahinya terkopek sehingga menonjolkan tulang tengkorak. Mungkin juga akibat terhantuk pada papan pemuka kereta ditambah dengan pecahan kaca cermin hadapan. Ajaibnya kuasa Tuhan, bayinya selamat tetapi terpelanting ke kerusi belakang. Bayi kecil yang tidak tahu apa-apa itu meraung dan menangis. Mungkin kerana kesakitan, kesedihan, terkejut dan sebagainya.
Sewaktu anggota bomba itu mengambil dan mahu menyelamatkan si kecil tadi, ibunya terketar-ketar dan menggigil sambil memberi isyarat kepada beliau. Subhanallah, rupa-rupanya si ibu tadi mahukan bayinya bagi disusukan. Diselak bajunya dengan sedaya upaya dan disusukan si kecil itu dengan penuh rasa sayu, pilu dan kasih sayang.
Si kecil senyap di dalam dakapan ibunya. Betapa nyamannya dakapan ibu itu sehingga mampu menenangkan si kecil yang ketakutan. Dengan kuasa dan izin Allah, ibu itu tiba-tiba tercungap-cungap mencari nafas, tanda ajalnya yang semakin hampir. Lalu terkapailah si ibu dalam keadaan yang penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang itu. Ya Allah, betapa pilunya situasi itu sehingga merenggut ketenangan anggota bomba tadi.
Sewaktu saya mendengar perkongsian ini, air mata saya berderaian laju menitis di pipi. Malah, tatkala menukil kata demi kata dalam ruang maya ini juga, bagaikan sukar air mata ini mahu ditepis. Betapa luhur dan agungnya perasaan kasih seorang ibu kepada permata hatinya. Tidak terbalas dek kita sebagai anak, yang selama ini tidak habis-habis bergantung pada jasa ibu.
Dari kecil dibelai ibu, sudah besar masih juga mahu bergantung pada ibu. Masakan tersedap, air tangan ibu. Segala pengalaman dunia, mahu dirujuk pada ibu.
Sahabat sekalian, selagi kita memiliki dan punya ibu, hargailah ibu kita setinggi-tingginya. Muliakan dan tatanglah ibu kita persis menatang air yang penuh tatkala berada di gurun yang gersang tanpa penghujung. Betapa berharganya air itu sehingga sekiranya boleh, setitis pun kita tidak mahu jatuh ke bumi. Tanpa air itu, takkan lama kita bertahan dalam mengharungi perjalanan di atas gurun tadi.
Semoga kita mendapat iktibar daripada kisah yang dikongsikan ini. Sekian.
*Sehingga kini, saya asyik terbayang-bayang nasib si kecil yang kehilangan tempat bermanja dan mendapatkan setitis susu ibunya. Betapa beruntungnya kita yang masih berpeluang menyusukan si manja kita~
Peringatan Bersama (PENAFIAN)
Blog ini adalah ruang pendapat, perkongsian dan luahan pemilik blog semata-mata berdasarkan maklumat dan pemahaman pemilik blog dalam dunia penyusuan ibu (kecuali apabila dimaklumkan sumbernya). Pembaca sekalian perlu merujuk pada konsultan laktasi ataupun kaunselor laktasi yang bertauliah bagi kes-kes teknikal dan kritikal. Pemilik blog tidak bertanggungjawab atas penyebaran maklumat yang dilakukan secara langsung mahupun tidak langsung.
Pembaca blog ini diizin menyalin kembali (copy and paste) serta mengolah info ataupun maklumat dari dalam blog ini demi mengembangkan ilmu penyusuan DENGAN SYARAT meletakkan sumber rujukan kembali kepada blog ini. Ini bagi memastikan hak cipta karya pemilik blog tetap terpelihara. Terima kasih atas kerjasama dan kesudian pembaca sekalian berkongsi ilmu di sini. Salam hormat (^_____^)







22 comments:
Allahuakhbar! Sgt sedih. Sgt tersentuh.
Semoga syurga la tempat arwah.
Hmm.. speechless tp cerita ni sgt2 buat hati saya tersentuh. Sob sob...
Thanks for sharing dan mohon sgt2 untuk copy cerita ni dengan kawan2.
Setuju Mimi. Kisah ini sangat meruntun hati. Tidak kira berkongsi secara verbal mahupun tidak, saya tetap menitiskan air mata. Sayu....
Kongsikanlah sekiranya ia mampu menyedarkan kita erti kasih sayang, pengorbanan dan tanggungjawab yang sebenar....
sedihnya... menangis saya baca entry ni. izinkan saya copy paste entry ni ke blog saya.. n link back to here..
Silakan Puan Lissa. Semoga kisah ini membawa manfaat kepada sahabat-sahabat kita di luar sana.
salam nora...
menitik air mata saya baca ni.
terbayang kasih ibu, sehingga ke akhirnya masih lagi ingatkan anaknya....
jadilah kita anak yang menghargai ibunya....
insyaAllah, kalau ada kesempatan, izinkan saya share dalam blog saya...
Akak pun dengar kisah ni kelmarin, tapi mulanya daripd perenggan ke 4 itulah. Masa tu kebetulan akak bersama mak akak dalam kereta, jadi mmg terasa lah. Sedih... Terima kasih kerana menuliskannya...
Akak salin dan tampal ya?
Nora, menitis air mata baca cerita ini. Tika ini juga sue sedang menyusukan aleesya. Ya Allah, aku bersyukur krn masih lagi diberi kesempatan utk menyusukan aleesya. Cerita ini juga memberi peringatan kpd diri sue agar kita menghargai insan yg bergelar ibu. Betul kata Nora, walau dimana pun kita, kita akan ttp pulang kepada ibu kita. Susah senang, ibu ttp setia disisi kita... Sue mohon paste ke blog sue ya..
Sya, Kak As dan Sue:
Silakan. MAri kita sama-sama berkongsi perkara yang mendatangkan manfaat. Betapa bertuahnya kita masih diberi peluang menghirup udara-Nya dan masih mampu berkasih sayang...
Waa, berkaca-kaca mata ku membacanya. Tak sanggup nak membayangkan lagi, huhu! Semoga Allah lindungi bayi itu kelak.
Tha, terima kasih sudi menyudahkan bacaanmu itu (T_T)
Salam... menitis airmata saya baca kisah ini... izinkan saya saya share dalam blog saya untuk berkongsi..
Salam Herni, pagi² lagi entry ko ni buat aku menangis. Masih sempat lagi menyusukan anak di saat² akhir...speechless.
Minta ijin ko gak nak C & P, mekasih ^_^
Proud Mama dan Fiza, marilah kita sama-sama berkongsi. Semoga kisah ini bermanfaat untuk kita semua. Betapa bersyukurnya kita yang masih diberi kesempatan dan peluang ini (~~;)
subhanallah..hiba sangat hati baca entry ni ...mintak izin nak sharing jugak sis kat blog..
Silakan Keyphochee. Kisah yang mendatangkan kesedaran begini memang perlu dikongsi bersama.
salamss nora
sangat2 tersentuh:(:(
kak, sy mntk permission skali lg nk copy story nie..sedihnye..bergenang air mata..
sayu hati membaca kisah ini.. kasih ibu hingga ke akhir hayat..
kak, saya minta izin copy di blog saya yea..
sedihnya...kak mohon copy blh??
Terima kasih atas perkongsian..
Sangat menyentuh hati...
Sy anisah nk monta kebenaran untk share citer benar ni ngn kawan2 yg len
Sahabat semua, boleh sahaja disalin tetapi PERLU letakkan sumber asal kepada blog ini ya :) Sekadar menjaga hak cipta pengkarya :) Terima kasih. (Kisah ini banyak diambil orang tanpa meletak sumber asal).
Post a Comment