Enjin Carian

Loading...

Peringatan Bersama (PENAFIAN)

Blog ini adalah ruang pendapat, perkongsian dan luahan pemilik blog semata-mata berdasarkan maklumat dan pemahaman pemilik blog dalam dunia penyusuan ibu (kecuali apabila dimaklumkan sumbernya). Pembaca sekalian perlu merujuk pada konsultan laktasi ataupun kaunselor laktasi yang bertauliah bagi kes-kes teknikal dan kritikal. Pemilik blog tidak bertanggungjawab atas penyebaran maklumat yang dilakukan secara langsung mahupun tidak langsung.

Pembaca blog ini diizin menyalin kembali (copy and paste) serta mengolah info ataupun maklumat dari dalam blog ini demi mengembangkan ilmu penyusuan DENGAN SYARAT meletakkan sumber rujukan kembali kepada blog ini. Ini bagi memastikan hak cipta karya pemilik blog tetap terpelihara. Terima kasih atas kerjasama dan kesudian pembaca sekalian berkongsi ilmu di sini. Salam hormat (^_____^)

Pembaca Budiman

Monday, August 8, 2011

Menyusu di Tempat Awam?

Kredit video untuk theVIDEOGRAPHERZ



Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2011 baru sahaja berlalu. Mahu mengingati tarikh sambutannya mudah sahaja, iaitu pada setiap awal bulan Ogos (1 Ogos hingga 7 Ogos), memandangkan Hari Kebangsaan kita pun pada bulan Ogos. Tetapi sambutan pada tahun ini lebih istimewa, kerana serentak dengan sambutan bulan suci Ramadan (^_^). Entri pada kali ini sebenarnya khusus untuk acara yang sangat istimewa lagi mengujakan iaitu KLCC Nurse-In Flash Mob, 7 Ogos 2011.

Acara ini sangat santai dan bersahaja. Konsepnya adalah, para ibu yang menyusukan anak berkumpul selama 5 minit, bersama-sama siapa sahaja (suami, anak, bapa, ibu, pengasuh dan lain-lain) demi menyampaikan mesej yang sangat jelas, iaitu 'Memartabatkan Penyusuan Susu Ibu'. Pada masa yang sama, mereka menyusukan juga si kecil masing-masing. Ada juga para hadirin yang membawa anak patung dan tetap melakukan aksi penyusuan. Ada sedikit laungan dan poster-poster juga bagi menyampaikan hasrat murni masing-masing.


"Penyusuan di tempat awam? Teruknya! Tidak terfikir dan terjangkau dek akal! Pergilah menyusu di tandas!"


Err, 'TANDAS'?! Cuba kita semua bayangkan, sanggupkah kita menikmati apa sahaja makanan kegemaran kita yang paling hebat dan terbaik di dalam tandas? Serius, hidangkan makanan sesedap mana sekali pun. Tetapi apabila disulami, diselangi, dan diiringi dengan bau yang tidak menyenangkan dan bunyi yang pelbagai, pasti selera itu terus tertutup dan terbantut. Malah, silap-silap bukannya kita dapat menikmati makanan tetapi termuntah pula!

Itu belum diambil kira lagi sekiranya tandas awam itu kotor, menjijikkan, dan tidak ada penyelenggaraan. Aduhai, patutkah si kecil kita, anugerah yang tidak ternilai itu, disusukan di situ?

Kumpulan sokongan MBfPC


Bayangkan perasaan si kecil, betapa susu ibu itu adalah nikmat terbaik untuk mereka membesar. Tetapi dinafikan pula hak mereka. Setiap kali si kecil lapar, dia dan ibunya dihalau ke sana sini. Tandas dan surau itu menjadi tempat biasa sebagai destinasi 'terpaksa' mereka. Sekiranya kawasan awam itu mempunyai bilik penyusuan, maka di situlah mereka wajib mendaratkan diri.

Kredit gambar untuk Asther Lau


Belum juga dikira sekiranya surau itu sempit dan dipenuhi orang ataupun bilik penyusuan terletak jauh di sana. Sedangkan, si kecil itu sudah menggigil-gigil kelaparan. Oh, alangkah kejamnya persekitaran yang menafikan hak mereka.


"Gelinya! Apalah menyusukan anak di sini!"


Komen saya, kasihan..., susu manusia begitu timbul perasaan geli. Usahkan dipegang, dilihat sahaja sudah berasa geli. Tetapi susu lembu, susu kambing, dan haiwan-haiwan lain, tidak pula berasa begitu? Sedangkan mereka sendiri golongan manusia. Walhal, mereka langsung tidak terlibat bagi memegang ataupun menyusukan si kecil itu. Langsung tidak terlibat! Hinakah ibu itu mahu menyusukan zuriat mereka sendiri?

Dunia sekarang, manusia lebih kreatif seiring dengan keperluan. Tidak perlu panik pada ibu yang menyusukan anak mereka di khalayak. Pada yang Muslim contohnya, mereka menggunakan pelbagai cara bagi melindungi aurat dan mengekalkan kesopanan mereka. Antaranya adalah:

1. Baju penyusuan
2. Penutup penyusuan
3. Tudung yang labuh
4. Selendang
5. Alatan menggendong bayi (Ring Sling, Pouch, SSC, Mei Tai, Onbuhimo, Wrap, malah versi 'bibik' pun boleh)
6. Berlindung di sebalik kereta tolak bayi dan pelbagai lagi.

Semua ini adalah demi memastikan zuriat mereka sentiasa mendapatkan sumber yang terbaik, halal, 100 peratus organik, segera, mudah lagi bersih! Langsung tidak memerlukan proses steril.

Menyusu Amal sambil menunggu makanan di Restoran Hj. Sharin Low


Bukankah kita sepatutnya menyokong dan memberi dorongan kepada para ibu yang akan mencorakkan generasi kita pada masa hadapan ini? Betapa pada zaman Nabi Muhammad, junjungan mulia kita sendiri, disusukan oleh ibu susuannya. Malah pada masa itu, masyarakat Arab berebut-rebut mahu anak masing-masing disusukan di desa-desa. Ya, betapa mereka juga menyokong penyusuan susu ibu. Mengapa pula di desa? Ini kerana mereka mahu anak mereka disusukan di kawasan yang tenang, tinggi nilai bahasanya, dan segar udaranya. Di kota pula, para pedagang datang dari seluruh pelosok dunia dengan bahasa yang bercampur aduk dan udara yang tidak segar.

Di Kuantan Medical Centre


Mereka juga mempunyai pilihan bagi menyusukan anak mereka dengan susu lembu, kambing, malah air zam-zam! Tetapi mengapa mereka masih mengagungkan penyusuan susu ibu? Bagaimana pula dengan kita? Berbekalkan kelengkapan dan kemudahan yang kita ada sekarang, masihkah lagi kita mahu menidakkan hak anak kita mendapatkan susu daripada ibunya?

Menyusu Iman sambil menunggu ibu merawat lutut di KMC


Justeru, ayuh kita bersama-sama memartabatkan penyusuan susu ibu di dunia. Cukuplah anak kita dibelenggu dengan susu tiruan. Bukan sahaja kerana khasiat, malah kerana susu ibu itu pengikat kasih sayang generasi kita. Akhir kata daripada saya-----> "Feed the Future!" \(^-^)/

Kredit gambar untuk Moms Basic

2 comments:

noraherni said...
This comment has been removed by the author.
permata_suci said...

alhamdulillah..bg saya menyusu di public xjd masalah buat sy yg 1st time bf anak kedua..1st baby xberjaye..tp kali ni tekad...bila di public xpenah lupe bwk nursing cover..jln2 di jusco..if ade jek kerusi kosong leh lepak n nyusu sambil pakai nursing cover..alhamdulillah ..xnmpk aurat pn..masih tertutup..if ade bilik mnyusu lg bagus..apepn niat kene betul n kuat..